Kini kutahu....

As Salam,


Alhamdulillah, cuaca hari ini baik. Dua hari yang lalu hujan tak berhenti dari pagi ke malam. Walaupun hujannya tak lah lebat tapi suasana yang mendung seringkali mempengaruhi emosi. Teringat suatu masa dulu semasa di tanahair, hujan adalah sangat di nanti-nanti. Sejuk dan menghiburkan. Bahkan menjadi inspirasi menghasilkan beberapa nukilan indah.

Tapi hujan di tanah koala ni berbeza sungguh rasanya. Mungkin sebab cuaca yang sedikit dingin berbanding di tanahair. Jadi bila ditambah dengan hujan, maka bertambah dingin jadinya. Rasa nak berselimut sepanjang waktu. Malah, diri bertukar menjadi malas dan lesu. Tak ada mood kononnya. Idea dan ilham lagi lah menghilang.

Hari ini matahari bersinar kembali. Membawa keceriaan kepada alam. Pun begitu cuaca tidak panas menyengat seperti di tanahair walaupun sinar matahari menyilaukan. Cuaca musim bunga. Memutik rasa romantis di hati. Tiba-tiba angin bertiup lembut. Membawa kembali memori yang lalu.

Tiga tahun lepas pada tarikh ini punya kenangan indah yang terabadi selamanya. Selama 27 tahun aku hidup baru hari ini ku mendapat jawapannya. Jawapan kepada persoalan ku sendiri sejak dari zaman sekolah lagi. Jawapan yang tidak terjawab oleh siapa-siapa pun. Tidak dari kedua orang tua ku, bukan juga dari guru-guru ku yang tinggi ilmunya, malah tidak juga diketahui oleh mana-mana pengkaji mahupun peramal profesional.

Dua puluh tujuh tahun aku mencari-cari jawapan! Kadang-kadang aku binggung memikirkan. Kusangka ku memperoleh jawapan tapi rupanya jauh dari sangkaan. Betapa kerdilnya diri kita sebagai manusia dibanding dengan Tuhan. Tidak teramal walaupun sesaat di hadapan!

Tapi, aku tak pernah berputus doa dan harapan. Selalu ku minta darimu Tuhan agar diberi petunjuk dan jalan. Dan akhirnya pada tarikh ini sewaktu 3 tahun yang lepas, Allah memberikan aku jawapan.

Inilah dia jodohku. Yang diciptakan untuk ku. Menjadi suamiku, imamku, pembimbimgku dan pendampingku di dunia ini. Mudah-mudahan akan kekal ke hujung nyawa dan insyaaAllah hingga ke syurgaMu ya Allah.

Selamat ulangtahun pernikahan suamiku!

 


0 Responses

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
abcs